Monday, 28 December 2015

SERANGAN DI PARIS 

1.   Setiap orang termasuk setiap orang yang berugama Islam harus mengutuk perbuatan pengecut yang dilakukan oleh orang Islam di Paris apabila 100 orang yang tidak berdosa telah terbunuh. Ini bukan hanya satu kejadian tetapi merangkumi satu siri serangan terancang di beberapa tempat di Paris. Sudah tentu, kejadian ini memberikan imej buruk kepada agama Islam serta penganutnya yang secara praktikal, memang dikaitkan agama Islam dengan keganasan.

2.   Ternyata, sesuatu harus dilakukan untuk memberhentikan serangan seumpama ini. Kerajaan Perancis sedang membentuk pasukan campuran untuk menentang ISIS dan menentang keganasan secara am. Kelihatan seluruh dunia bersedia untuk bergabung bagi menentang ISIS secara khusus.

3.   Jika kita bersedia untuk mengkaji sejarah, kita pasti menyedari keganasan telah meningkat sejak kebelakangan ini. Pengganas menjadi semakin menakutkan dan semakin ganas.

4.   Pihak yang mengambil berat pasti menyedari perbuatan keganasan ini banyak berlaku di negara-negara Arab di Timur Tengah. Senuanya bermula dengan pembentukan negara Israel di atas bumi Palestin. Penduduk Arab Palestin telah dibunuh beramai-ramai dan dihalau dari negara mereka oleh kumpulan pengganas Irgun dan Hagarah milik Israel. Mereka kehilangan tanah mereka, rumah mereka dan dusun buah-buahan mereka. Mereka terpaksa tinggal di kem pelarian yang menyedihkan di negara lain di kawasan berhampiran. Lebih 60 tahun mereka merana akibat daripada rampasan tanah ini. Pada mulanya, beberapa negara Arah cuba mengambil semula tanah milik Palestin menerusi perang konvensional. Dari tahun 1948 hingga tahun 1982 mereka menyerang Israel. Akan tetapi, setiap kali mereka dikalahkan oleh Isreal kerana Israel diberikan bantuan senjata, bantuan kewangan dan bantuan ketenteraan oleh Amerika dan negara Eropah.

5.   Negara Arab menerima kenyataan bahawa mereka tidak akan dapat mengalahkan Israel menerusi peperangan. Setelah tahun 1982, mereka berhenti mencuba. 

6.   Pada tahun 1987, Yasser Arafat menubuhkan kumpulan PLO Al Fatah dan memulakan intifada pertama. Pada awalnya, kanak-kanak Palestin membaling batu ke arah kereta kebal Israel. Pihak Israel membalas dengan menembak kanak-kanak Palestin dengan peluru getah dan peluru hidup serta membunuh, menangkap dan memenjara rakyat Palestin. Pihak Israel mengembangkan wilayah mereka dengan membina penempatan di atas tanah milik Palestin. Tidak pernah berlaku penubuhan penempatan di atas tanah milik orang lain. Akan tetapi, dunia tidak mengutuk Israel.

7.   Kemudian, rakyat Palestin menubuhkan unit gerila untuk menyerang Isrel dan Israel membalas dengan mengebom dan memusnahkan bandar dan kampung Arab. Ramai orang Arab ditahan dan dipenjarakan tanpa becara.

8.   Apabila rakyat Palestin mencari perlindungan di Lubnan, Israel menceroboh Lubnan dan membunuh ribuan pelarian Palestin yang berlindung di kem Sabra dan kem Shatila. Mereka memaksa pemecatan PLO dari Lubnan.

9.   Rakyat Palestin menggunakan bom berani mati. Kesannya, amat sedikit tetapi perbuatan mereka dilabel sebagai keganasan. Mereka juga menyerang Israel dengan menggunakan roket primitif tanpa sebarang kesan. 

10.  Israel membalas dengan menyerang Gaza, Jenin dan lain-lain bandar menggunakan roket sehingga ribuan rakyat terbunuh dan ratusan ribuan cedera.

11.  Bagi membina kembali rumah-rumah yang dimusnahkan oleh Israel dihalang oleh Israel dengan pengadang bangunan. Pengadang ini menghalang penghantaran makanan dan ubat-ubatan sampai ke Gaza dan kampung serta bandar yang telah dimusnahkan. Mereka yang terselamat terpaksa berlindung di runtuhan bangunan dan di khemah yang memdedahkan mereka pada cuaca dingin pada musim sejuk. Hingga ke hari ini, mereka masih tidak dapat membina kembali rumah mereka.

12.  Penduduk Gaza membuat roket primitif dan menyerang Israel dengan kesan kerosakan sedikit. Israel membalas kembali dengan menghantar roket dan mengebom Gaza dan menceroboh Gaza dan memusnahkan hampir keseluruhan bangunan termasuk sekolah dan hospital.

13.  Kemudian, Iraq deserang oleh tentera Amerika dan tentera British dan Saddam Hussein digulingkan dan digantung. Tanpa Kerajaan yang kuat, Sunni dan Syiah mula bertelagah dan bertindak kejam sesama sendiri. Semasa pemerintahan Saddam, mereka hidup dalam aman damai.

14.  Kemudian, pihak Barat memaksa Arab menggulingkan Kerajaan autokratik di banyak negara Arab. Akibatnya, berlaku kacau-bilau, anarki dan perang saudara.

15.  Di Syria, berlaku pemberontakan. Perang saudara telah memusnahkan seluruh negara. Seramai empat juta rakyat Syria telah meninggalkan negara mereka. Keadaan mereka amat menyedihkan. Keadaan yang sama sedang berlaku di Yaman. 

16.  Seluruh dunia Arab berada dalam keadaan huru-hara kerana orang Arab bertelagah sesama sendiri. Kumpulan pemberontak Syria dilatih, dilengkapi dan diberi bantuan kewangan oleh kuasa besar luar  untuk menentang Kerajaan Bashar Assad. Kerajaan bertindak balas.

17.  Ada pemberontak menggunakan senjata yang dibekalkan oleh Amerika untuk menentang pembentukan Islamic State. Untuk diketahui dan ditakuti, mereka menggunakan kekejaman yang tidak pernah didengar. Mereka menyembelih leher tahanan yang tidak bersalah dengan menggunakan pisau pendek dan menembak mati ramai tahanan termasuk remaja lelaki. Mereka membakar hidup-hidup beberapa tahanan mereka. Kini, mereka telah mengembangkan aktiviti mereka ke Eropah, menembak orang yang tidak bersalah.

18.  Walaupun operasi ketenteraaan ditambah bagi menentang kumpulan ini memang logik dan mungkin efektif namun perbuatan keganasan dan membunuh orang yang tidak bersalah tidak akan berakhir. Kematian ketua mereka atau pembunuh mereka akan digantikan dengan pelatih baharu dengan kemungkinan bersifat lebih kejam.

19.  Hanya satu cara untuk menangani keganasan ini adalah menyelesaikan sebab utama antaranya adalah sokongan tidak berbelah bagi kepada Israel oleh Amerika dan negara Eropah. Ini harus dihentikan.

20.  Pembentukan negara Israel ialah fait accompli yang harus diterima termasuk orang Arab. Mereka mempercaya perjanjian Stockholm tetapi penentangan Israel masih diteruskan. Mereka membunuh Yitzhak Rabin bagi memastikan keamanan tidak tercapai.

21.  Memang melampau dan bersifat jenayah membunuh kanak-kanak yang membaling batu, menangkap mereka dan memenjarakan mereka selama bertahun lamanya.

22.  Mewujudkan penempatan di atas tanah milik Palestin dan mengusir rakyat Palestin dari tanah mereka, membuat jalan raya di atas tanah milik Palestin dan rakyat Palestin dihalang menggunakannya, halangan jalan raya diadakan untuk mengganggu perjalanan rakyat Palestin di Palestin, melambatkan ketibaan wanita hamil ke hospital sehingga mereka melahirkan anak di panghalang jalan raya, membina dinding untuk memisahkan perkampungan, membunuh ribuan pelarian Palestin di kem pelarian, memecah masuk ke dalam hospital untuk mengheret rakyat Palestin yang tidak sihat untuk pelaksanaan hukuman mati, menghalang bantuan makanan, ubat-ubatan dan bahan binaan untuk tiba kepada rakyat Palestin, menangkap ribuan rakyat Palestin dan menahan mereka tanpa bicara bertahun lamanya, menggunakan mereka sebagai tebusan untuk ditukar dengan rakyat Israel yang berjaya ditangkap, memusnahkan bandar, kampung dan Semenanjung Gaza dengan roket, bom, senjata berat, kereta kebal dan traktor, seringkali memusnahkan rumah ketika penghuni rumah masih berada di dalam rumah dan macam-macam lagi kekejaman yang masih dilakukan oleh Israel.

23.  Semua perkara ini adalah salah, berlawanan dengan undang-undang negara dan undang-undang dunia, bertentangan dengan perlakuan manusia, tidak berperkemanusiaan dan tidak bermoral. Akan tetapi, orang Eropah yang menyatakan bahawa mereke percaya peraturan undang-undang, percaya kepada hak asasi manusia, percaya kepada keadilan tidak mengutuk Isreal dan tidak menghentikan mereka. Malah, mereka seolah-olah menyokong segala perbuatan salah Israel.

24.  Dunia tidak peduli kesengsaraan rakyat Palestin seolah-olah rakyat Palestin bukan manusia.

25.  Penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Palestin, ketidak adilan terhadap mereka, perasaan malu turut dirasa oleh orang Arab dan orang Islam. Marah dan kecewa, dimalukan, tidak dapat bertindak balas secara konversional, dipandang rendah kerana kepercayaan terhadap agama Islam, orang Arab dan orang Islam terpaksa bertindak balas sekerap mungkin.

26.  Maka, perbuatan yang dikatakan ganas meningkat. Semakin mereka gagal semakin bertambah kekejaman mereka. Apabila tiada negara Islam mula bertindak, mereka cuba menubuhkan negara sendiri. Tidak dapat melancarkan perang konvensional, mereka melakukan apa yang digambarkan sebagai perbuatan ganas.

27.  Dan, perbuatan ganas ini akan berterusan dan meningkat sehingga satu usaha konkrit diambil untuk menangani penderitaan, malu dan ketidak adilan yang ditanggung oleh rakyat Palestin, orang Arab dan orang Islam oleh Israel disokong oleh Eropah dan Amerika.

28.  Saya tidak bersimpati terhadap IS dan amat benci terhadap keganasan yang dilakukan oleh mereka. Apa yang dilakukan oleh mereka bertentangan dengan ajaran Islam dan perilaku manusia.

29.  Keganasan merupakan punca penderitaan rakyat biasa. Mereka tidak tahu bilakah mereka akan menjadi mangsa keganasan. Kita menerima idea untuk menghentikan perbuatan ganas. Akan tetapi, dengan hanya menggunakan ketenteraan tidak dapat mengalahkan pengganas. Hanya dengan menyelesaikan masalah utama dapat mengalahkan keganasan.

30.  Punca keganasan telah diketahui dan disenaraikan di atas. Sikap enggan berkompromi oleh Israel harus dihentikan dan penempataan dan rampasan tanah rakyat Palestin harus dikembalikan. Apabila semua ini dilakukan, barulah kekecewaan dan kemarahan dalam kalangan orang Islan dan perlakuan akan keganasan akan berkurang. Kegagalan mengaku sebab utama hanya akan mendorong kesinambungan dan peningkatan perbuatan ganas.

Sumber : Blog Chedet
Ditulis oleh : Tun Dr Mahathir Mohamad
Tarikh ditulis : 23hb Disember 2015
Diterjemah oleh : Teratai Melur
Emel : terataigenius@gmail.com