Thursday, 12 May 2016

KP dalam bentuk kertas dan tidak boleh menyimpan "wang"

EVOLUSI: Kad Pengenalan telah melalui banyak perubahan daripada bentuk kertas ketika Zaman Darurat pada tahun 1948 kepada bentuk MyKad.

Bukan semua orang menerima kad pengenalan (KP) pertama mereka daripada guru sekolah seperti yang diterima oleh pesara S. Sundareson.

"Saya berusia 14 tahun ketika menerima kad pengenalan pertama saya daripada guru kelas, Teoh Teik Lee (kini dikenali sebagai Datuk Teoh dan tinggal di Kuala Lumpur) pada bulan Oktober 1948. Nombor KP saya ialah PK: 110709. En. Teoh menyediakan KP untuk pelajar berusia 12 tahun dan ke atas dan menandatangani KP tersebut sebagai pegawai pengeluar dokumen," kata bekas pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (NRD) di Petaling Jaya.

Sundareson telah bertugas dengan NRD selama 15 tahun berkata pada tahun 1948, Peraturan Darurat (Kawasan Pendaftaran) 1948 memandatorikan setiap orang yang berusia 12 tahun ke atas untuk mendaftar dan memperoleh KP. 

"Salah satu langkah untuk menangani ancaman komunis adalah menerusi pendaftaran penduduk. KP membuktikan pemegang ialah penduduk persekutuan yang sah di sisi undang-undang dan rekod penduduk membolehkan polis menjejaki orang dikehendaki dan suspek yang dikehendaki. 

"Antara mereka yang dikecualikan daripada mendaftar ialah pemerintah negeri-negeri Melayu, komissioner-general Asia Tenggara, pesuruhjaya tinggi, gabenor Singapura, anggota keselamatan, pemegang KP Singapura, penumpang dalam perjalanan dengan dokumen perjalanan yang sah dan pemegang kad pengenalan konsular yang dikeluarkan oleh Singapura."

"Undang-undang yang dikenakan sangat ketat di mana apabila golongan yang dikecualikan daripada mengambil kad pengenalan telah bersara, mereka dikehendaki mendaftar dalam masa 30 hari untuk menperoleh KP."

Pendaftaran negara di Persekutuan Tanah Melayu bermula pada 15 Oktober 1948 dan dikehendaki menyelesaikan proses pendaftaran pada penghujung tahun tersebut. Ia seterusnya diperluaskan ke Singapura tiga hari kemudian.

Kad pengenalan kosong diberikan kepada guru besar, pengurus ladang dan pengurus lombong dan majikan yang menggajikan lebih daripada 50 pekerja.

Mereka dikehendaki mendaftar sesiapa di bawah jagaan mereka dan menyerahkan KP yang telah diisi kepada pegawai daerah (DO) yang kemudian akan menandatangani dengan cop rasmi di bahagian bawah tepi kanan.

Kaunterfoil dengan gambar beserta cap ibu jari disimpan oleh DO sebagai rekod manakala KP asal dikembalikan semula kepada pemegang.

Kad sempadan dengan kod awalan A hingga F dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen kepada penduduk kaum Cina yang tinggal dalam lingkungan 24km hingga 32km "di kawasan tertutup" di sepanjang sempadan Thai.

"Pendaftaran diharuskan disebabkan oleh ancaman komunis dan bukannya kerana diskriminasi kaum. Pada masa itu, terdapat pengganas (komunis) yang telah memasuki negara sama ada melalui sempadan Thai atau melalui pantai timur.

"Ia adalah cara pengenalan diri yang sah selagi pemegang kad tinggal di dalam zon berkenaan. Bagaimanapun, jika pemegang berpindah ke daerah lain, kad sempadannya akan ditarik dan akan diberikan KP dengan sistem nombor pendaftaran negara. Nombor kad sempadan akan ditulis dalam KP baharu," kata Sundareson.

Pulau Pinang, termasuk Province Wellesley (Seberang Prai) ialah negeri pertama mengeluarkan KP yang bermula pada 1 September 1948 dan diselesaikan dalam 30 hari.

Pada 1 Oktober 1950 kad sempadan diberhentikan pengeluarannya.
Generasi pertama KP dikehendaki mengambil kad catuan mereka dan membayar 50 sen untuk gambar.

Setiap negeri atau penempatan mencetak KP masing-masing yang dicetak diatas kertas berwarna putih jenis kadbod tanpa ciri-ciri keselamatan. Bagi tujuan pendaftaran KP secara beramai-ramai. setiap negeri atau penempatan mempunyai kod awalan unik seperti PS (Perlis) dan K (Kedah).

"Pemohon harus mengisi borang permohonan dan bayar untuk dua keping gambar berwarna hitam putih berukuran 1 1/2 x 1 3/4 inci. Borang yang telah diisi harus diserahkan sendiri oleh pemohon di pusat pendaftaran," kata Sundareson.

"Cap jari direkod dan satu salinan tertera tarikh pengambilan KP akan diberikan kepada pemohon.

"Cap jari adalah bahagian yang paling penting dalam proses pendaftaran. Jadi, pekerja di bahagian pendaftaran dilatih untuk merekod cap jari dalam borang permohonan dan dalam KP dengan betul.

"Bagi mendapatkan cap jari yang jelas, ibu jari kanan yang telah didakwat hendaklah digerakkan sama ada dari kiri ke kanan atau sebaliknya sekali di dalam ruang yang disediakan tanpa sebarang tekanan.

"Setelah menerima KP, pemohon diminta sentiasa membawa KP pada setiap masa. Kegagalan berbuat demikian adalah salah di sisi undang-undang di bawah Peraturan Darurat dan pemegang kad pengenalan boleh ditahan untuk penyiasatan polis. KP generasi pertama telah dihentikan pengeluarannya pada 30 November 1950."

Sebagai tambahan kepada maklumat peribadi dalam KP, nombor kad catuan pemegang turut ditulis dalam KP.

"Semasa Zaman Darurat, Jabatan Kawalan Makanan mengeluarkan kad catuan membolehkan seorang dewasa berhak membeli 1kg beras setiap minggu. Ini untuk mengelakkan orang ramai memberikan makanan kepada pengganas.

"Sesiapa yang didaftar di bawah Ordinan Pendaftaran Jenayah 1948 akan ditulis dengan huruf "RR" di bahagian bawah tepi kiri.
"Sesiapa yang telah pindah dikehendaki melapor di balai polis terdekat untuk ditulis alamat baharu di bahagian belakang KP mereka," katanya.

Pendaftaran secara beramai-ramai dilakukan dengan tergesa-gesa dengan sedikit verifikasi dilakukan mengenai maklumat pemohon yang tertulis dalam borang permohonan dengan maklumat dalam KP. Bagi KP yang dikeluarkan oleh majikan dan pihak sekolah, maklumat diperoleh daripada rekod majikan dan pendaftaran sekolah. Keutamaan diberikan kepada gambar yang betul dan cap ibu jari.

Menurut bancian 1947, Malaya mempunyai populasi sebanyak 4,908,086 di mana 3,337,498 berusia lebih daripada 12 dan dikehendaki mendaftar.

Menjelang suku pertama 1949, sebanyak empat juta orang menpunyai KP.

Pada 27 Jun tahun yang sama, pihak kerajaan mengambil keputusan pendaftaran penduduk dikekalkan di peringkat persekutuan.  

Jabatan Pendaftaran ditubuhkan untuk menyelaraskan pemberian KP, pentadbiran dan koordinasi.

Peringkat persekutuan dibahagikan kepada 77 daerah pendaftaran dengan setiap satu dipadankan dengan satu daerah pentadbiran atau mukim perbandaran.

Daerah pendaftaran ini disatukan menjadi 15 kumpulan di mana rekod berkenaan kawasan pengeluaran KP dikekalkan.
Agen pendaftaran dilantik untuk mengeluarkan KP bagi mereka yang berusia 12 tahun juga menggantikan KP yang telah hilang atau telah rosak.

Apabila Peraturan Darurat 1948 (Kawasan Pendaftaran) dimansuhkan pada 31 Julai 1960 dan Akta Pendaftaran Negara 1959 dikuatkuasa pada 1 Ogos 1960, setiap orang dikehendaki mendaftar semula untuk mendapatkan kad pengenalan berlaminasi.
"Usaha ini penting kerana sistem perlu dinaik taraf kepada sistem yang lebih komprehensif dan sistem yang kekal untuk pendaftaran negara membabitkan penubuhan pendaftaran pusat.

"Rekod dari pejabat pendaftaran kumpulan dipindahkan ke pusat pendaftaran NRD di Petaling Jaya," kata Sundareson.

KP kertas yang dikeluarkan pada Zaman Darurat mempunyai kelemahan. Bukan hanya ia mudah rosak malah tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan dan dikelurkan mengikut kawasan dengan rekod disimpan di pejabat pendaftaran kumpulan di seluruh negara.
"Usaha untuk menukarkan KP kertas dengan KP berlaminasi diberi nama kod Operasi Penukaran dan garis panduan mengenainya dikeluarkan dalam sebuah buku kecil. Operasi ini berjalan selama 2 1/2  tahun dan orang ramai dibenarkan menggunakan kad pengenalan kertas sehingga mereka memperoleh KP berlaminasi."

KP plastik berlaminasi dikeluarkan dalam empat warna: warna biru untuk warganegara Malaya; warna merah untuk bukan warganegara tetapi penduduk tetap; warna hijau untuk pelancong, pemegang pas pekerjaan dan tanggungan mereka; dan warna perang untuk mereka didaftar di bawah Akta 1960 Pencegahan Jenayah (Pindaan). 

"Bekas perdana menteri Tunku Abdul Rahman diberikan KP pertama berlaminasi dengan nombor 0000001 manakala timbalan perdana menteri diberikan diberikan dengan nombor 0000002.

"Semasa Operasi Penukaran, ramai orang tiba di pusat pendaftaran dan di pejabat pendaftaran sehingga terpaksa menempatkan polis.

"Orang ramai berpusu-pusu memohon KP. Ini kerana terdapat kebanggaan memegang KP berwarna biru kerana dapat memohon untuk paspot, mengundi dalam pilihanraya umum dan memohon pekerjaan dalam sektor kerajaan. KP ini digunakan dari tahun 1960 hingga 1990, katanya.

Apabila Peraturan Pendaftaran Negara 1990 berkuatkuasa pada 31 Disember 1990, sekali lagi menjadi mandatori untuk pemegang KP mendaftar semula bagi mendapatkan kad pengennalan berkualiti tinggi yang dikeluarkan dari tahun 1990 hingga tahun 2001.

Pada 5 Sept 2001, NRD memperkenalkan MyKad dan Malaysia menjadi negara pertama di dunia untuk menggunakan kad pengenalan yang dimasukkan cip pintar yang mengandungi pengenalan foto dan cap jari biometrik.

MyKad generasi pertama menggantikan MyKad dengan ciri-ciri keselamatan yang terkini.



Sumber : New Straits Times

Ditulis oleh : Suzanna Pillay
Tarikh keluaran : 28hb Februari 2016
Diterjemah oleh : Teratai Melur
E-mel: terataigenius@gmail.com