Friday, 23 October 2015

PEMISAHAN KUASA

1.   Timbalan Perdana Menteri membuat rujukan kepada pemisahan kuasa apabila membuat komen mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Raja-Raja untuk mempercepatkan penyiasatan 1MDB dan 2.6 bilion Ringgit dalam akaun Najib. Adakah ini pelanggaran andaian pemisahan kuasa antara Raja-Raja dan Kerajaan?.

2.   Memang benar, Agong dan Raja-Raja Melayu adalah monarki berpelembagaan. Akan tetapi, ini tidak bermakna mereka ini sebagai pak turut yang membenarkan semua perlakuan Kerajaan.

3.   Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan (Perlembagaan Negeri hampir sama dengan Perlembagaan Persekutuan) menyatakan dengan jelas bahawa Kuasa Eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri tetapi Parlimen boleh melalui undang-undang memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.

4.   Perkara 40 menyatakan dengan jelas bahawa Agong berhak meminta apa-apa maklumat Kabinet.

5.   Kedua-dua perkara ini dengan jelas memberikan Yang di-Pertuan Agong peranan eksekutif.

6.   Perkara 40 Perenggan (2) dengan jelas menyatakan Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya dalam melaksanakan fungsi

a)   melantik Perdana Menteri

b)   tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen

c)   undang-undang Persekutuan boleh membuat peruntukan bagi Agong bertindak selepas berunding dengan atau atas cadangan mana-mana individu atau sekumpulan individu.

7.   Kita pernah melihat Raja-Raja menolak nama calon-calon yang diberikan oleh parti majoriti untuk jawatan Menteri Besar.

8.   Jika Perdana Menteri memohon untuk membubarkan Parlimen, Agong boleh menolak.

9.   Sekali lagi kita lihat Agong dan Raja-Raja boleh bertindak atas budi bicara mereka. Mereka boleh berunding dan menerima cadangan daripada mana-mana individu atau pihak berkenaan.

10.  Sudah tentu, jika petition dibuat atau terdapat surat desakan daripada orang ramai, raja-raja tidak semestinya hanya mendengar pada Kabinet sahaja.

11.  Perkara 41 menyatakan Yang di-Pertuan Agong Komander Tertinggi bagi Pasukan Tentera Persekutuan. Jelas sekali, ia bukan kelebihan memakai pakaian seragam tersebut.

12.  Apa yang jelas adalah dalam Perlembagaa tidak menyentuh mengenai pemisahan kuasa antara Kerajaan dan Agong. Malah, dalam keadaan tertentu, Agong boleh bertindak atas budi bicaranya.

13.  Dan, Agong boleh mendengar pendapat orang lain selain daripada Kabinet. Keadaan ini berlaku apabila Kabinet gagal menyelesaikan aduan rakyat yang memerlukan Agong dan Raja-Raja meminta agar Kerajaan memberi tindak balas.

14.  Dalam mengeluarkan kenyataan, Raja-Raja tidak mengatasi peruntukan dalam perlembagaan. Sebenarnya, mereka mengikut seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

15.  Sebaliknya, perkara yang sama tidak boleh digunakan dalam prinsip pemisahan kuasa antara perundangan eksekutif dan kehakiman.

16. Kini, Perdana Menteri selaku ketua perundangan yang dipilih, dengan jelas tidak menghormati prinsip ini.

17.  Contohnya, para pegawai pentadbiran yang menyiasat 1MDB dan 2.6 bilion Ringgit telah ditukar ke Pejabat Perdana Menteri menyebabkan tugas mereka tergendala. Mereka diganti atas arahan Perdana Menteri.

18.  Para pegawai SPRM juga dilayan seperti itu dan sekali lagi menyebabkan penyiasatan tergendala.

19.  Peguam Negara, salah seorang anggota penubuhan kehakiman telah dibuang ketika beliau sedang menjalankan tugas untuk menyediakan kes dibawa ke mahkamah. Seorang hakim yang menggantikan tempat beliau sebagai Peguam Negara. Ini sebenarnya merampas kuasa kehakiman.

20.  Peguam Negara dikatakan sedang sakit tetapi beliau menafikannya. Tiada sijil sakit dikeluarkan untuk menyokong kenyataan ini.

21.  Semua ini diketahui umum. Raja-Raja mungkin telah mendengar dan mungkin telah menerima petition mengenai sikap autoritarian yang tidak menghormati undang-undang dan peraturan Kerajaan.

22.  Rakyat negara ini tertakluk di bawah Raja-Raja. Dan, sebagai Raja-Raja mereka harus mengambil berat kebajikan rakyat.

23.  Jika pada pendapat mereka, Kerajaan harus mempercepatkan penyiasatan demi keprihatinan rakyat dan negara ini, maka ia adakah tugas Raja-Raja untuk memberitahu Kerajaan mengenai ketidakpuasan hati rakyat mengenai isu ini dan meminta perkara ini diselesaikan.


Sumber : Blog Chedet

Ditulis olhe : Tun Dr. Mahathir Mohamad
Tarikh ditulis : 20hb Oktober 2015
Diterjemah oleh : Teratai Melur
Emel : terataigenius@gmail.com