PEMBAYARAN BALIK HUTANG-HUTANG
1. Seolah-olah terdapat kekeliruan dalam pembayaran balik hutang-hutang serta kehilangan wang oleh 1MDB.
2. Walaupun kesemua hutang dapat dibayar balik menerusi penjualan aset oleh 1MDB, ini tidak bermakna 1MDB bebas daripada tuduhan yang tidak dapat menjelaskan kehilangan wang berbillion ringgit.
3. Dalam perniagaan, wang boleh hilang menerusi pelaburan atau pengurusan yang teruk. Hal ini dapat diterima walaupun KPE dan kesemua Pengurus terbabit dipecat.
4. Akan tetapi, apabila wang telah hilang dan pihak pengurusan tidak dapat menjelaskan kehilangannya serta tidak dapat menjelaskan bagaimana ia hilang, pihak pengurusan masih bertanggungjawab walaupun terdapat usaha bailout atau kesemua hutang telah dibayar.
5. Dengan menyatakan bahawa wang tersebut telah dilaburkan di Kepulauan Cayman dan walaupun terdapat dakwaan bahawa wang tersebut telah dibawa balik dan sekarang berada di Singapura, ia masih tidak dapat dibuktikan dalam bentuk yang boleh dipegang. Maka, pihak pengurusan harus bertanggungjawab di atas kehilangannya. Terdapat anggapan bahawa pihak pengurusan telah menyalahgunakan wang tersebut kecuali pihak pengurusan dapat membuktikan sebaliknya.
6. Mengenai GST, dana tambahan ini dikumpul menerusi kesusahan rakyat. Rakyat terpaksa membayar lebih untuk setiap pembelian. Ini bermakna, kuasa pembelian rakyat semakin rendah. Dengan lain perkataan, rakyat menjadi semakin miskin untuk mengkayakan Kerajaan.
7. Walaupun terdapat barangan yang rakyat beli tidak dikenakan GST, tetapi pemborong yang menjual barangan kepada peruncit terpaksa menaikkan harga kerana mereka terpaksa membayar GST. Peruncit pula terpaksa mengenakan harga tinggi kepada pelanggan mereka untuk menampung penambahan kos ini. Akhirnya, rakyat terpaksa menanggung kos GST.
8. Kerajaan boleh mengenepikan cukai tambahan ini dengan mengurangkan perbelanjaannya. Pemberian wang kepada rakyat mungkin popular tetapi dalam kebanyakan kes penerima wang tidak memerlukan wang tersebut. Lebih baik jika rakyat diberikan pendidikan dan melatih mereka untuk pekerjaan bergaji tinggi. Menaikkan gaji tanpa meningkatkan produktiviti, menambahkan jumlah hari cuti umum, menggantikan cuti umum yang jatuh pada hari minggu, menaikkan kadar gaji minimum, menghabiskan wang untuk kemewahan - kesemua perkara yang dinyatakan di atas meningkatkan perbelanjaan Kerajaan, mengakibatkan peningkatan defisit. Dengan pengurusan kewangan yang lebih teratur, GST tidak perlu dikenakan kepada rakyat.
9. Sudah tentu perniagaan seperti 1MDB dan Pembinaan PFI hanya akan mengakibatkan pinjaman tidak mapan. Apabila perniagaan telah rugi, maka beban kewangan Kerajaan bertambah. Dengan memperkenalkan GST, Kerajaan sebenarnya meminta rakyat termasuk golongan yang tidak termasuk dalam kalangan pembayar cukai pendapatan untuk bailout Kerajaan.
10. Pemimpin yang dipilih tidak lali untuk meletak jawatan sebelum tamat tempohnya. PM sebelum ini juga dipilih dengan majoriti yang lebih besar. Tetapi beliau telah dipujuk untuk meletak jawatan oleh PM sekarang.
11. Apa salah dengan meminta PM sekarang meletak jawatan. Secara jelas beliau telah punah ranahkan negara berbanding dengan PM sebelum ini.
12. Sebelum ini, tidak pernah kedengaran perbelanjaan tinggi oleh PM dengan pembelian barangan mewah, cara hidup mewah. Semua cakap-cakap ini mungkin tidak benar. Tetapi cakap-cakap seperti ini tidak pernah kedengaran semasa pemerintahan Perdana Menteri-Perdana Menteri terdahulu. Cakap-cakap seperti ini mungkin berpunca daripada cara hidup Perdana Menteri sekarang berbeza dengan hidup Perdana Menteri - Perdana Menteri terdahulu.
13. Najib harus meletak jawatan untuk sebab ini dan sebab-sebab lain.
14. Mengenai ramai orang menunjukkan sokongan. Kita semua melihat demonstrasi seperti ini sebelum PRU13. Keputusannya adalah lebih buruk daripada PRU12. Demonstrasi-demonstrasi seperti ini tidak menunjukkan sokongan terhadap Najib. Mereka ini datang kerana pelbagai insentif diberikan.
Sumber : Blog Chedet
Ditulis oleh : Tun Dr. Mahathir Mohamad
Tarikh ditulis : 29hb. Mei 2015
Link ; chedet.cc/?p=1731
Diterjemah oleh : Teratai Melur
E-mel : terataigenius@gmail.com
Comments
Post a Comment